Rukun 13
Rukun berdarah
Wajib tertib di dalam solat
Laksana amanah
Langsai membunuh
Tangguh dibunuh
Sumpah mengenggam
Kitabullah nan suci
Biar kami
tergantung di leher
tidak akan pernah gentar
tidak mungkin akan takut
Hidup terjajah
Hidup gundah
rasa hina
ditelagah
rasa siksa
dijarah
pengkhianat bangsa
bermatian diperang
pendusta agama
korbannya dihalal
pahlawan negara
sedia berjuang
bukan kerna nama
bukan kerna wang
atas nama Sarawak
Negara tercinta
Biar satu dunia ini tahu
sejarah yang kita tempa ini
akan bikin Koloni malu
sedangkan hanya badek
tumbuk lada berlawan peluru
dan budak muda itu menang
di depan para soldadu
si Gabenor Baru
membunuh kami bukan suka-suka saja
mencari kami mereka..
mereka..
dia..
dia..
dalam senarai tercatat nama-nama
'Yang patut Mati'
'Yang dipukul saja'
Rakyat biasa
jangan dianiaya
dek perbuatan kita
jadi kita
wajib kekal - Rahsia
Rukun 13
diberi nama
sayap kiri arah tujuannya
memberi ajar
perompak bangsa dan nyawa
pengkhianat wasiat Diraja
sepatutnya dibuang kerakyatannya
dan kerajaannya
Sepuluh mendesak
biar pecah di perut
jangan pecah di mulut
Rosli dan Morshidi
tidak mungkin berganjak
sekali angguk
sudah terpacak
tiang jati utuh
menentang ribut tohmah
Ibu menangis
datang merayu
mahu tau dalang penghasut
lantaran Koloni janji
tidak mengurnia mati
kepada Rosli
Kepada Morshidi
tapi janji tinggal janji
janji yang mengusung
hukuman
gantung
sampai
MATI!
Kotor..
BENAR kotor
KOLONI.
Lawan
tetap akan
Lawan.
Tuhan akan tolong
orang yang benar.
Rukun 13
Menyerah kata
bukan kerana kalah
mengorban janji
mengorban ganti badan
dua tambah dua
pejuang Anti penyerahan nan malang
Mereka
pasti dicemuh
malam dan siang
oleh orang-orang yang mata-matanya
rabun lagi buta
hingga yang menjilat
buntut dan kasut penjajah
orang-orang sebangsa
senegara
yang mudah lupa
asal usulnya
yang tiga itu
menjatuh hukum kerana mereka yang malu
tidak langsung melihat sebab sebalik
maksud kejadian.
Jika ini namanya perundangan adil
Salah seorang
Tiga menurut
dua seliang
tidak bernisan
dalam penjara
tempat semadian
maka berwaspadalah kamu
mendekati orang-orang yang amalannya sedemikian
sekejap nanti barangkali kamu akan jadi korban!!!
Pengakuan yang tercatat itu
Dalam sejarah
Dalam buku-buku ilmu
di negara sendiri
tiada yang tahu
Dalam pustaka cumalah satu
Wahai Rosli, Morshidi, Awang Rambli dan Bujang
Begitu malukah negara ini kepada darahmu?
yang telah mengalir
bersama parajurit-parajurit
yang mereka ukir jadi tugu
tapi bukan kamu?
Rukun 13
tinggal sejarah
bagai tiada yang endah
mungkin kamu hanya insan biasa
tidak seperti
harimau rimba
yang mendabik dada
mengaum seluruh hutan belantara.
Rukun 13
aku tidak akan pernah lupa.
(aku berharap lebih banyak sejarah pejuang Sabah dan Sarawak dalam buku teks sejarah)
setiakasih a.k.a Suhana_s
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Mengenangmu: Rosli Dhoby
Rosli Dhoby merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan Sarawak walaupun tidak sepopular para pejuang Sarawak yang lain seperti Rentap dan Sharif Masahor. Usianya ketika itu baru mencapai 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan.SILA BACA MULA DARI LAMAN TOK:
Sinopsis - Pahlawan Yang tidak didendangkan : http://galeripejuangsarawak.blogspot.com/2009/12/perihal-rosli-dhoby-1.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan