8 Jan 2010

Untukmu Rosli Dhoby

Wajahmu
menguris jiwa
bukan kerana aku benci
bukan kerana aku dendam
kerana aku lihat
kau teraniaya.

Matamu
persona
segala kecintaan di dunia
manis senyummu
membugar
segala rasa mahu berjuang
demi bumi Sarawak
demi untuk bebas
dari cengkamnya
Raja Putih
yang gila kuasa.

Jiwamu
kental segala raksa
yang dihimpun
dari seluruh dunia
jadi senjata melepas jiwa
dan raga manusia
tersiksa
terpenjara
di tanah air sendiri.

Warkahmu
menceritakan segala
yang terbungkam dalam jiwa
pesan murni anak muda
pasti kini pun
tiada yang setara dia
juang atau kosa kata
patriotisma
dan kebermaknaannya.


Selasa, September 29, 2009


setiakasih a.k.a Suhana_s

Syahidkah Rukun 13 di mata-mata yang rabun

Rukun 13
Rukun berdarah
Wajib tertib di dalam solat
Laksana amanah
Langsai membunuh
Tangguh dibunuh
Sumpah mengenggam
Kitabullah nan suci

Biar kami
tergantung di leher
tidak akan pernah gentar
tidak mungkin akan takut
Hidup terjajah
Hidup gundah
rasa hina
ditelagah
rasa siksa
dijarah

pengkhianat bangsa
bermatian diperang
pendusta agama
korbannya dihalal
pahlawan negara
sedia berjuang
bukan kerna nama
bukan kerna wang
atas nama Sarawak
Negara tercinta

Biar satu dunia ini tahu
sejarah yang kita tempa ini
akan bikin Koloni malu

sedangkan hanya badek
tumbuk lada berlawan peluru
dan budak muda itu menang
di depan para soldadu
si Gabenor Baru

membunuh kami bukan suka-suka saja
mencari kami mereka..
mereka..
dia..
dia..
dalam senarai tercatat nama-nama
'Yang patut Mati'
'Yang dipukul saja'
Rakyat biasa
jangan dianiaya
dek perbuatan kita
jadi kita
wajib kekal - Rahsia

Rukun 13
diberi nama
sayap kiri arah tujuannya
memberi ajar
perompak bangsa dan nyawa
pengkhianat wasiat Diraja
sepatutnya dibuang kerakyatannya
dan kerajaannya

Sepuluh mendesak
biar pecah di perut
jangan pecah di mulut
Rosli dan Morshidi
tidak mungkin berganjak
sekali angguk
sudah terpacak
tiang jati utuh
menentang ribut tohmah

Ibu menangis
datang merayu
mahu tau dalang penghasut
lantaran Koloni janji
tidak mengurnia mati
kepada Rosli
Kepada Morshidi

tapi janji tinggal janji
janji yang mengusung
hukuman
gantung
sampai
MATI!

Kotor..
BENAR kotor
KOLONI.

Lawan
tetap akan
Lawan.

Tuhan akan tolong
orang yang benar.

Rukun 13
Menyerah kata
bukan kerana kalah
mengorban janji
mengorban ganti badan
dua tambah dua
pejuang Anti penyerahan nan malang

Mereka
pasti dicemuh
malam dan siang
oleh orang-orang yang mata-matanya
rabun lagi buta
hingga yang menjilat
buntut dan kasut penjajah
orang-orang sebangsa
senegara
yang mudah lupa
asal usulnya
yang tiga itu
menjatuh hukum kerana mereka yang malu
tidak langsung melihat sebab sebalik
maksud kejadian.

Jika ini namanya perundangan adil
Salah seorang
Tiga menurut
dua seliang
tidak bernisan
dalam penjara
tempat semadian
maka berwaspadalah kamu
mendekati orang-orang yang amalannya sedemikian
sekejap nanti barangkali kamu akan jadi korban!!!

Pengakuan yang tercatat itu
Dalam sejarah
Dalam buku-buku ilmu
di negara sendiri
tiada yang tahu
Dalam pustaka cumalah satu

Wahai Rosli, Morshidi, Awang Rambli dan Bujang
Begitu malukah negara ini kepada darahmu?
yang telah mengalir
bersama parajurit-parajurit
yang mereka ukir jadi tugu
tapi bukan kamu?

Rukun 13
tinggal sejarah
bagai tiada yang endah
mungkin kamu hanya insan biasa
tidak seperti
harimau rimba
yang mendabik dada
mengaum seluruh hutan belantara.

Rukun 13
aku tidak akan pernah lupa.



(aku berharap lebih banyak sejarah pejuang Sabah dan Sarawak dalam buku teks sejarah)




setiakasih a.k.a Suhana_s

ANAK WATAN

Berlalu sudah kesah pedih
Kesah gugurnya anak anak watan
Nekat dengan perjuangan jihad
Menghakis penjajah yang ingin terus berkuasa
Megah dengan kuku besi
Mencekam dinegara tercinta

Anak watan
Pantang menyerah
Tidak rela dijajah
Walau seinci
Akan dipertahankan
Dengan titisan darah

Anak anak yang terkorban hingga berkecai
Merengkuk dalam gedung besi waja
Disoal, dipejal, disekal dan disebat
Segala galanya dihadapi dengan hati yang kental
Disirit ke mahkamah hitam
Dihukum gantung sampai mati

ROSLI DHOBY
MORSIDI SIDEK
AWANG RAMLI
BUJANG SUNTONG

Bersemadi dalam tembuk kokoh
Pusara tidak bertanda
Tempiasan cebis cebis dan ketulan
Perjuangan dan pengurbanan


Anak anak watan
Mencana saluran yang telus
Menuntut kemerdekaan
Negara yang tercinta

Kesah pedih berlalu bagitu saja
Detik detik sejarah berdarah
Luput dari ingatan
Insan sedataran
Pohon pohon tegak rimbun menghijau
Dalam peralihan zaman

Anak anak watan yang masih tegak
Mari sama sama
Mengucap kelimah suci
Semuga ALLAH mencucuri rahmat
Roh roh
Anak anak yang berpulang.


ROSDIMAN = ROSLI + MORSIDI + SEMAN




oleh: Abg. Othman Abg. Teh @ Cikgu Seman


setiakasih a.k.a Suhana_s

Mengenangmu Rosli dan Morshidi

Cinta terungkap dengan berbuat
Janji terkota dengan tanggungan
Nyawa dipertaruh
Hebat amanah
Pundak kau galas.

Sedang teruna main mata,
Perjuang manis dara,
Kau sudah main perang,
Pertahan jati hak
cinta agung.

Telan madu kata Raja Putih
wajib muntah keluar
berganti darah,
dayus pada tanah air
tidak mungkin akan!

Dihukum berat sebelah
konon dosa anak kecil
setimpal 'rang tua
hujah bisa beruk putih mengaku berkuasa manusia

- dan syahidlah Rosli dan Morshidi.


3 Jun 09

Diterbitkan dalam Utusan Sarawak
22 Julai 2009


.

Warkah Terakhir Rosli Dhoby

Menjelangi,

Ibu bapa ku yang dimuliae & di taati serta di cintaie siang & malam.

 1. Selamat berpisah anakanda uchapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat itu : janganlah di ingat2 & dirayukan, kerna itu memang sudah nasib & takdzer anakanda yang ta dapat di elak dan di mungker2 kan lagi.

2. Peliharakan lah adek & kakak serta semua ahli kita - Berikan segala pelajaran sama ada sunat &; perdzu kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari mirah tapak kaki di pelihara ayahanda & bonda sampai hari Perpisahan anakanda. Dan halalkan lah makan minum anakanda.

4. Selimuti lah jenazah anakanda dengan panji2 kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis; buku2 dan pakaian2 anakanda itu, izen lah anakanda di salini oleh adek Aini.

6. Dan anak kechil Kanda Fatimah berilah dengan nama ROSLI supaya mengingati anakanda.

7. Sampaikan salam hormat & maaf serta selamat berpisah anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.

8. Ayahanda & bonda serta ahli sekalian, janganlah lupa mengamalkan kebejikan dan mendirikan sembahyang untok bekalan istimewa ka negri yang baka'.


Salam sembah dari anakanda,


Rosli Dhoby

01.03.50


*RD dan MS digantung sampai mati pada 02.03.1950

Mengenangmu: Rosli Dhoby

Rosli Dhoby merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan Sarawak walaupun tidak sepopular para pejuang Sarawak yang lain seperti Rentap dan Sharif Masahor. Usianya ketika itu baru mencapai 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan.

SILA BACA MULA DARI LAMAN TOK:
Sinopsis - Pahlawan Yang tidak didendangkan : http://galeripejuangsarawak.blogspot.com/2009/12/perihal-rosli-dhoby-1.html
Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives